Hari ini Dalam Sejarah

Saya berasa amat berbesar hati! Blog saya yang tak seberapa ini telah dipilih sebagai satu salah daripada 10 untuk mendapat hadiah. Dapat saguhati pun jadi lah. Tak kisah.

Oleh kerana saya tidak bersayap untuk terbang ambil hadiah, insanadia telah pun menjadi wakil (terima kasih!). Ni pun kerana cik amalia gementar nak naik dua kali, takut tersungkur jatuh. hehehe... Yang paling saya sukai, rakan seperjuangan Qasrina telah pun mengaut tempat ketiga. Saya turut ikut sorak and terlompat-lompat gembira di London. Johan adalah tidak lain dan tak bukan, Bustan Minda dengan blog kreatif yang dihias dengan lukisan kartunnya sendiri.

Syabas kepada semua pemenang! Yah, mari kita blogging sampai pagi!!!

Bercakap tentang blogging, ada juga lain-lain pertandingan blogging yang tidak rasmi seperti yang dianjurkan oleh Juring II, di mana 12 peserta dipilih antara 30 yang bertanding. Peserta-peserta tersebut diberikan satu cabaran demi cabaran untuk diselesaikan dalam tempoh masa yang diberikan. Catitan mereka akan dinilai oleh panel juri dan diberi markah. Siapa yang dapat markah terendah kena tendang. Ganas tak? Dalam menempoh cabaran-cabaran tersebut, attoch telah muncul sebagai juara and memikul gelaran Blogger Terhebat

Tapi bukan semua blogging hanya untuk memenuhkan masa! Ada yang untuk beramal. Saya amat menyesal kerana terlalu lambat untuk menyertai Blogathon Amal 2006 - Aman Palestin dimana peserta-peserta dikehendaki muat naik posting dalam jangka masa setiap 30 minit. Bacalah pengalaman lolliesplace yang menyertia blogathon amal ini. Para peserta telah berjaya mengumpul derma sebanyak USD 1427. Sedekah masih diterima.

Syabas Blogathon Amal!

Pameran Misteri dan Hantu di Shah Alam
















Atmosfera ngeri dalam pameran. Siap dgn kereta tersadai di jalanraya tepi perkuburan. Gambar dari The Star online


Baru-baru ini, suatu pameran seram telah baru dibuka di Shah Alam. Pameran ini, atau nama penuhnya, Pameran Misteri, Jin, Hantu Keranda dan… adalah lain dari yang lain. Penganjurnya telah menyatakan bahawa segala mahluk halus yang dipamerkan adalah betul lagi asli. Tulin bang! Ada langsuir, jenglot and pocong. Siap dengan bilik rawatan oleh bomoh jika ada pengunjung yang tersampuk. Dahsyat!

Bukan sahaja mahluk halus ada juga cindai atau kain yang tak lut api dan juga ikan duyung. Tapi maaf je, ikan duyungnya tak ‘bergetah’ macam ikan duyung yang kita ketahui. Tak pakai kulit seashell macam Ariel, tidak juga mempunyai bentuk badan yang menawan. Artifak-artifak pameran tersebut adalah dari koleksi peribadi Encik Safuan Abu Bakar Pameran itu telah dibiaya oleh Lembaga Muzium Selangor dan juga mendapat kelulusan Mufit Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.

Saya begitu terperanjat! Pada mulanya macam tak percaya. Betul ke? Betul ke segala artifak yang dipamerkan tulin lagi benar? Dan betul kah ada yang suka mengumpul benda-benda begini?

Dalam melungsuri Internet, terdapat banyak ulasan terhadap pameran ini. Ada berlainan pendapat terhadap keaslian artifak dan juga lain-lain pengalaman semasa mengunjungi pameran ini. Ada yang kata seram, ada yang kata bedek dan macam-macam lagi. Tetapi pengunjung tak putus-putus. Biasa lah…. Kalau benda-benda aneh ni, memang ramai nak tengok. Lagipun harga tiket hanya RM5. Tapi bagi saya, yang penakut besar ni, tak payah lah… sedangkan nak tengok filem Pontianak Harum Sundal Malam pun tak berani….

Ulasan dari Bernama, Harakah Daily dan MStar (Perhatian: Yg lemah semangat, mungkin tidak perlu ketik kaitan ke MStar. Pasal ada gambar Pocong. tapi pocong dalam gambar dan exhibit tersebut bukanlah yang betul. Cuma patung. Menurut lapuran, pocong yang betul ada dalam satu kotak kaca di tepi exhibit tersebut dan yang hanya akan menjelma pada masa tertentu. Ada yang boleh nampak dan ada yang tidak. Hmmmm...)

Amboi Amboi Puteri Melayu




Berikutan catitan saya tentang lagu Gadis Melayu, saya muat turun satu lagu lama yang dinyanyikan oleh allahyarhama biduanita Saloma.

Selain dari lirik lagu, saya juga terpikat dengan translasi English yang diberi. Tak sangka bahawa perkataan 'Amboi' sudah diterjemah sebagai 'Oh you' dan perkataan 'Manja' diterjemah menjadi 'romantic'! Sampai sekarang saya belum dapat terjemahan yang kukuh untuk perkataan 'manja'. Perkataan 'spoilt' lebih sesuai kalau anak tu terlalu manja tetapi kalau manja yang memikat jiwa tu, apakah terjemahannya?

Teringat saya kepada kartun-kartun Lat dimana dia menceritakan bagaimana beberapa translasi dialogue filem lama tidak begitu betul; seperti satu adegan yang menunjukkan seorang pemuda menatap wajah gadisnya dan berkata dengan begitu puitis "Your eyes are like marbles..." Namun translasinya tidak romantis langsung...."Mata kamu macam guli."

Adegan selanjutnya adalah seorang banduan menghadapi pasukan tembakan. Entah tidak ketahui jika banduan itu seorang penjahat atau penjuang kemerdekaan. Betul-betul "tension". Pegawai dengan cengihnya melaung "Fire!" sebagai isyarat untuk menembak. Translasinya bukan "tembak" tetapi "Api!". Kalau saya sedang melihat filem tersebut, mesti ketawa terbahak-bahak.

Gadis Melayu


Hai, adakah gadis melayu yang tak 'cair' apabila mendengar lagu ini? Bukan saja lagu ini memuji-muji sifat-sifat gadis melayu, ianya jugak dinyanyikan oleh dua orang permuda yang termasyur di tanahair!

Di antara gadis-gadis seluruh dunia,
tiada yang sehalus mulus oh setulus dia.
Budi bahasanya, pandangan matanya,

sentuhan jiwanya membuat ku terlena...

Tahniah pada Kak Z!

Sedang saya diulit mimpi, saya dikejutkan oleh bunyi telefon bimbit. Alamak, SMS dari Singapura. Jam menunjukkan pukul 4 pagi. Alahai, melayura....inikah balasan saya kerana pernah menelefon kamu pada pukul 3 pagi? Tetapi rungutan saya bertukar menjadi ketawa berdekah-dekah. Rupa-rupanya jawaban-jawaban yang telah saya diberikan kepada wartawan Berita Harian telah pun dijadikan satu artikel.

Aduhai malunya saya! Sudah terpampang di akhar nasional betapa teruknya penggunaan Bahasa Melayu saya. Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf dari guru-guru Bahasa Melayu saya. Minta maaf, ye, cikgu?

Berbual tentang Bahasa, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kak Z, yang telahpun mendapat ijazah Sarjana dalam Sastera Melayu Tradisional Saya amat kagum dengan perjuangan Kak Z dan suaminya mendalami dan mengkukuhi penghayatan bahasa dan budaya Melayu. Tidak disangka-sangka ada banyak manuskrip Melayu lama di British Library termasuk tulisan Munshi Abdullah dan syair dari abad 18 yang merupakan asas thesis Kak Z. Syair itu meriwayatkan politik istana berselang dengan percintaan antara Sultan Johor dan permaisuri Patani. (Kak Z, kalau petikan saya ni salah, tolong betulkan, ye?).

Menurut Kak Z, bukan sahaja British Library, ramai lagi museum dan perpustakaan di rantau Eropah mempunyai manuskrip Melayu lama. Tercetus persoalan dalam hati saya, berapa banyaknya manuskrip lama melayu yang ada di Arkib Negara Singapura?

Dan mentor Kak Z semasa menjalani kursus ijazah ini adalah professor terkemuka dalam bidang sastera tradisional melayu, Professor V Braginsky, seorang keturunan Russia. Pada Kak Z, dia tidak merasa malu lagi mempelajari pendalaman sastera melayu dari seorang yang bukan Melayu kerana pokoknya, dia dapat menimba ilmu. Jikalau seorang bukan Melayu boleh begitu cinta dengan Bahasa Melayu, adakah terlalu berat untuk kita turut mencintai bahasa ibunda kita?

Melayu di Kota Inggeris

Pasu bunga berbaris-baris
Disusun oleh si anak manis
Aku melayu di Kota Inggeris
Masih rindu petai dan sambal tumis


Begitu lirik lagu Art Fazil. Pada setiap malam Sabtu, dia dan ahli percussion Mofa akan mendendangkan lagu-lagu Melayu dan Inggeris di Mawar, sebuah restoran Malaysian di London. Dari Bujang Lapok ke Apokalips ke Gurindam Jiwa, semua akan disajikan untuk peminat lagu-lagu Melayu. Kalau ada permintaan, pun boleh. Tulis sahaja di dalam kertas ataupun di atas wang £10, kata beliau dengan seloroh.

Selalunya malam Sabtu, restoran Mawar akan penuh – sampai ada yang terpaksa duduk di tangga menunggu giliran. Nampaknya bukan sahaja anak melayu rindukan makanan melayu seperti asam pedas dan kari ikan, tetapi mereka rindu mendengar lagu melayu dinyanyikan secara langsung.

Ini kelihatan paling ketara apabila ada penyanyi lagu melayu datang ke London untuk membuat persembahan. Daripada M Nasir dan Alleycats sampai ke Siti Nurhaliza yang berjaya memenuhi ruang besar Royal Albert Hall dengan orang-orang melayu yang begitu asyik bernyanyi dan berjoget lambak.

Jumlah masyarakat melayu di U.K. memang ramai. Kalau tak percaya, datang ke Persuruhanjaya Malaysia ketika pagi raya. Berpusu-pusu orang Melayu akan datang berpakaian baju kurung berwarni-warni, lengkap dengan songkok, kain samping dan kot musim sejuk. Pertama kali saya melihat cik abang-cik abang memakai baju kurung dengan kot tebal, memang geli hati tetapi apa nak buat? Kalau tak pakai, gerenti mengigil kesejukan.

Rakan sekolah saya, Anita, telah datang berkunjung setelah lama mengajar bahasa Inggeris di Jepun. Kebetulan saya telah dijemput seorang rakan untuk meraikan harijadi suaminya Terperanjat besar Anita melihat juadah Melayu yang telah sedia dihidang. Soto, bergedil, murtabak, roti kirai, kari ayam. Amboi! Tak tahu mana satu harus dipilih. Dia tak sangka akan dapat bersantap masakan asli melayu di kota London. Dan dia lebih terperanjat apabila saya membawa dia membeli-belah di Chinatown di mana segala bagai rempah Adabi, belacan, kicap cap kipas udang, kuah sate segera, nasi himpit segara, halia, serai, rambutan, manggis dan durian senang didapati. Cuma jangan bandingkan harga sahaja! Mesti terbeliak biji mata.

Memang kota London serba ada tetapi kadangkala saya masih rindu dengan tanah air. Rindu duduk di pusat penjaja Newton menikmati makanan laut dan menghirup ais kacang, rindu makan tulang di Beach Road sambil meminum air tebu segar. Dan juga rindu berjalan-jalan di Geylang sewaktu bulan puasa. Singapura bukannya dekat – bukan boleh sampai naik bas. Jadi terpaksalah kami berpusu-pusu ke Mawar untuk mengubat rindu walaupun untuk sementara.

Singapura di pentas dunia

Pernah saya terfikir apakah maknanya menjadi seorang anak Melayu Singapura. Soalan ini makin ketara apabila saya menapak ke dunia luar. Ramai kenalan yang saya baru temui di U.K. akan mengaru kepala kerana tidak dapat mengenalpasti dari manakah saya. Sememangnya kulit hitam manis saya di tengah lautan kulit putih lain daripada yang lain. Kulit saya tidak segelap dan struktur wajah saya amat berlainan dari orang West Indies ataupun orang India.

Bila saya mengatakan saya dari Singapura, gerak balas yang saya terima amat berlainan. Ada yang tersenyum sambil berkata “Oh Singapore! I was there during a stopover to Australia/NZ. Very clean!” Ada yang terpinga-pinga “Singapore? Is it near China?” dan ada yang berkata “Singapore? But you don’t look Chinese!” Terbahak-bahak saya tertawa. Ternyata poster-poster perlancungan STB yang memaparkan wayang Cina dan tarian singa Singapura sungguh berjaya!

Saya juga selalu ditegur dalam bahasa Tagalog oleh orang Filipino. Mereka selalu tersenyum ramah dan berbual mesra walaupun akhirnya saya berkata saya bukan orang Filipino. Malangnya hanya segelintir orang Melayu yang saya tidak kenali akan menyapa atau tersenyum. Mungkin kerana saya tidak bertudung dan tidak nampak kemelayuan dari segi pakaian? Kadangkala apabila saya menyapa dalam bahasa melayu, mereka akan terperanjat dan kelihatan cemas!

Kembali kepada penduduk U.K., rata-rata mereka akan takjub betapa fasihnya saya berbual Bahasa Inggeris. Mereka akan bertanya berapa lama saya sudah menetap di sini. Saya rasa rakyat Singapura lebih kosmopolitan dan lebih terbuka dalam segi hal-ehwal dunia. Mungkin kerana majoriti media kita telah pun di impot dari negara-negara lain. Lagipun ramai penduduk Singapura sudah biasa berlancung ke negara-negara lain. Ramai penduduk U.K dan U.S. tidak mempunyai passport, apatah lagi melancung ke tempat-tempat eksotik seperti Thailand, Malaysia ataupun Singapura.

Pengurus lama saya ketika berkerja di Christie’s teringat bahawa Singapura dahulu tanah jajahan empayar British yang dirampas seketika oleh Jepun tatkala perang dunia kedua. Apabila saya geram kepadanya, saya selalu berseloroh dan bergurau “Hah, kenapa tentera British mengarah senjata ke laut? Jepun datang berbasikal dari belakang!”. Dia akan tersipu-sipu dan kami akan ketawa besar.

Saya amat bernasib baik kerana belum bertentang muka dengan rasisme ganas atau ketaksuban di sini. Apa yang saya temui adalah sifat ingin tahu dan saya berasa adalah tanggungjawab saya untuk menampilkan imej yang positif untuk orang melayu. Cewah!

Ah Long Bukit Beruntung


Berikutan catitan saya tentang hutang mewah, mungkinkah ramai org melayu kita akan menjadi pelanggan Ah Long Bukit Beruntung?

Melayu Oh Melayu

Saya teringat kelas anthropologi semasa universiti. Tutor kursus saya telah menyuruh kami melawat rumah kawan yang berlainan kaum dan melapurkan kepada kelas apakah yang kita perhati atau apakah yang kita rasa lain. Seorang pelajar Cina telah berkata bapa kawan Melayunya ada di rumah; tidak kerja - yang padanya agak ganjil. Saya telah berkata bahawa rumah kawan Cina saya amat sempit rasanya, tiada ruang-ruang lapang untuk keluarga.

Terperanjat kami apabila tutor tersebut menyuruh kami menyingkap kembali permerhatian kami kerana komen-komen kami akan mencerminkan nilai-nilai kehidupan kami. Untuk pelajar Cina itu, amat ganjil seseorang itu tidak berkerja mencari wang. Untuk saya, ruang lapang itu penting untuk kenduri dan untuk keluarga duduk bersantai bersama. Adakah ideologi kita terlalu berlainan?

Dari pelbagai artikel dan blog yang saya baca, ada yang mengemukakan bahawa Melayu tidak berjaya – tidak ada kereta atau rumah mewah; ketinggalan dalam segi pelajaran. Yang perit lagi apabila ada ibu-bapa Melayu yang berkata “kalau nak pandai, kawan dgn orang Cina.” Adakah Melayu kurang berjaya atau adakah adat pernilaian kita berbeza?

Mungkin dulu kaum Melayu selalunya lebih pentingkan kekayaan rohaniah daripada kejayaan materialistik. Ada yang berpendapat susah untuk Melayu mencapai kejayaan kerana kita terpaksa mengatasi pelbagai pra-anggapan atau pra-konsepsi yang Melayu itu malas atau bodoh.

Namun dengan pembangunan negara dan ekonomi yang pesat dan pendedahan gejala luar, sistem pernilaian kaum Melayu sedikit sebanyak telah pun bertukar. Yang membanggakan pelajar kaum Melayu sudah boleh bersaing dalam segi pendidikan. Dan yang kurang membanggakan ramai orang Melayu sekarang bersaing mengejar rumah mewah, kereta mewah, beg berjenama mewah dan juga hutang yang mewah…………

Dari Singapura sampai ke London

Mungkin ada yang nak tahu bagaimana saya berada di London. Saya bukan seorang ekspatriat. Tidak juga kahwin dengan mat salleh dan terus berpindah ke London. Hanya seorang insan biasa yang mempunyai impian untuk mengembara ke negeri orang. Setelah bertahun berkerja, saya rase terlalu penat. Terlintas juga di fikiran – dulu bertungkus-lumus belajar, sekarang bertungkus-lumus berkerja, apakah semua ini akan berakhir sebelum saya sempat membuat impian saya menjadi nyata?

Selepas membuat penyelidikan terperinci, saya terjumpa skim “Working Holiday Visa” untuk United Kingdom. Warganegara rakyat Commonwealth yang umurnya kurang dari 28 tahun, dibenarkan bertetap dan berkerja selama dua tahun di U.K. Skim ini tidak begitu diketahui ramai dan terdapat juga skim-skim yang sama untuk negera Australia dan New Zealand. Sila rujuk ke persuruhanjaya negara tersebut jika ingin mengetahui skim ini lebih lanjut.

Bagi saya, mendapat tahu tentang skim ini adalah bagai durian runtuh! Bukan saja saya akan dapat melawat U.K, dengan skim ini, saya dapat berkerja untuk membiaya perlancungan di negara-negara Eropah. Sebelum mendapat gading bertuah, banyak juga syarat-syarat yang patut dipenuhi. Borang mesti diisi dengan betul, mesti menulis karangan pendek mengapa kamu ingin melawat negara tersebut, mesti menjalani temuduga di persuruhanjaya dan juga mesti menunjukkan bukti pada pesuruhanjaya tersebut bahawa ada simpanan sejumlah £2000 ($6000) untuk membiaya ongkos kehidupan tatkala di U.K.

Apabila saya dan SS menyatakan hasrat di hati untuk menjelajah ke London, sambutan dari kawan-kawan bercampur-baur. Ada yang menggalakkan, ada yang berkata mungkin selepas sebulan dua, kita akan pulang dan ada juga yang cuba memujuk supaya jangan pergi. Kata mereka “dah ada kerja baik, gaji baik, apa pasal nak pergi?”

Kami bertekad jugak kerana kebahagian bukan terletak hanya pada mempunyai gaji yang mewah. Jika kita melepaskan peluang ini, adakah kalau bertahun-tahun selepas ini, kita akan tertanya-tanya “Bagaimanakah..” (What if?) dan berasa sesal tidak meragut peluang selagi stok masih ada?

Setelah membuat persiapan berbulan-bulan lamanya, saya dan suami saya bersedia untuk berneroka alam yang baru. Rasa teruja berselang-seli dengan perasaan takut dan juga sedih kerana meninggalkan keluarga dan sahabat-handai di Singapura. Memang untuk mencapai impian memerlukan pengorbanan.

Penerbangan dari Singapura ke London mengambil masa selama 17 jam. Kami tiba di Heathrow di satu petang yang mendung. Lapangan terbang Heathrow tidak sebersih Lapangan terbang Changi. Lantai keretapi tube diperbuat dari papan, lif dari stesyen macam lif kargo era 60an dan bilik hotel tidak mewah. Berlintas jugak di benak fikiran “Alamak, apa yang aku buat kat sini?” .

Tapi keesokkan harinya kami tersentak bangun, tidak menyangka kami berada di London. Rasa ceria dan teruja bersilang seli. Dari jendela, kami dapat melihat berbagai bunga aneka warna mekar tatkala musim bunga. Kami bergegas melawat tempat-tempat yang selama ini hanya dapat kami baca dari majalah atau akhbar atau hanya dapat kami lihat di kaca televisyen. Buckingham Palace, Westminster Palace, Trafalgar Square, Hyde Park... Dan pada saat itulah, kami tahu inilah impian kami. Inilah impian kami yang menjadi nyata.

Blog Melayu, Melayu Baru


Saya amat berbangga dengan sambutan yang diberikan terhadap pertandingan blog Bulan Bahasa. Tak disangka-sangka ramai yang akan menyahut cabaran. Ramai yang menyertai atas galakan cikgu Bahasa Melayu. Bukankah ini merupakan cara yang unik dan terkini untuk mengajar dan belajar Bahasa Melayu?

Daripada apa yang saya baca, para penulis amat peka dengan gejala yang melanda Bahasa Melayu. Rata-rata mereka angkur betapa sukarnya untuk menulis catatan dalam Bahasa Melayu. Bukan kerana tidak tahu, tetapi kerana dah lama tak pakai. Setajam mana keris pun kalau tak diasah akan tumpul juga. Saya akui penulisan Bahasa Melayu saya tak sederas tatkala waktu persekolahan dahalu. Semasa menulis, otak masih berfikir dalam Bahasa Inggeris, terkapai-kapai saya mencari terjemahan ke Bahasa Melayu.

Perihal penggunaan campur aduk Bahasa Melayu dan Inggeris, pada pendapat saya bahasa itu organik. Kalau tidak diubah-suai mengikut rentak masa, akan kaku dan bertambah ketinggalan zaman. Saya bersependapat dengan myopiclens yang telah mencatat dalam blognya bahawa Bahasa itu adalah “alat komunikasi yang perlu lentur untuk disesuaikan kepada penggunanya”. Sila ketik myopiclens untuk ke halaman blog beliau .

Mungkin mengherdik atau mencela mereka yang bercampur-aduk bahasa bukan caranya. Sedangkan bahasa Inggeris banyak juga membuat pinjaman dari bahasa-bahasa lain seperti “bungalow”, “tiffin” dan “pajamas” dari Bahasa India dan “Amock” dan “Pangolin” dari Bahasa Melayu. Tidak dapat dinafi lagi bahawa banyak perkataan Melayu moden adalah hasil pinjaman dari Bahasa Inggeris. Memang tidak boleh dielak; apatah lagi Bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa kommunikasi antarabangsa dan unsur-unsur kebaratan telah pun menguasai minda bukan sahaja anak-anak melayu tetapi ramai penduduk dunia sejagat.

Apa yang patut kita dorong adalah appresiasi atau penghayatan bahasa dan budaya Melayu. Indahnya pantun, syair dan puisi melayu, lemah gemalainya tarian melayu, tertib dan bersopannya adat melayu. Salah satu sebab mengapa saya cekal mahu pulang ke tanahair adalah kerana saya mahu anak perempuan saya mengenali asal-usul keluarganya dan juga untuk dibesarkan berlandaskan tata tertib gadis melayu. Sayangnya saya belum ada kebolehan untuk pulang. Nasib baik, masyarakat melayu di London agak besar jumlahnya dan Alia dapat berkawan dengan anak-anak melayu. Apa yang saya harap apabila tiba masanya, tidaklah rebung mejadi buluh!

Hebatbya Kata dan Bahasa



Dah sah dah… saya ni minah rock. Dah berapa jam saya melungsuri YouTube mencari lagu-lagu rock yang dinyanyikan oleh Amy Search, Jamal Abdillah dan Awie Wings. Juga lagu-lagu yang ditulis oleh M Nasir yang pada saya merupakan karya-karya yang begitu indah. Bukan senang nak menulis lagu, apatah lagi menulis lirik yang boleh membuat yang mendengar tersenyum, menangis ataupun tertawa.

Mungkin apa yang saya rasakan adalah nostalgia kerana lagu-lagu inilah yang mewarna hari-hari remaja saya. Suka duka zaman persekolahan, segala ranjau dan duri cinta pertama, luka berdarah putus cinta. Hanya mendengar beberapa patah lirik sesuatu lagu sudah cukup untuk membawa saya ke tempat dan masa yang lain, jauh dari kesibukan kota London.

Pernah sekali saya sedang duduk di tingkat atas bas 414 yang sedang meluncur ke arah South Kensington. Bas melepasi Marble Arch, Hyde Park Corner, Harrods dan Victoria & Albert Museum. Matahari memancar galak dan salju meliputi tanah. Saya mengigil kesejukan.

Lagu Isabella berkumandang dari Ipod dan dalam sejenak itu, saya hanyut dalam kenangan manis sekolah menengah. Tergambar pakaian sekolah pinafore biru yang tali pinggangnya selalu kita jadikan headband dikir barat, kepanasan tengahari apabila sedang berlatih tarian, hilai ketawa teman berjenaka, menjamu makan roti john dan air durian belanda di Taman Serasi selepas latihan dikir barat. Betapa hebatnya lingkaran kata dan bahasa. Apakah kenangan anda apabila mendengar lagu ini?

Rock tetap Rock

Rock


Kredit video : Grand Brilliance Sdn Berhad

Seperti lain-lain barang yang terpaksa kami "import", mungkin dah basi untuk saya mencatat tentang cerita "Rock" ini. Kebetulan seorang teman membawa VCD ini semasa penerbangan ke London. Riuh rendah rumah apabila kami melihat filem ini. Betul tak tahan melihat kerenah empat remaja yang hidup untuk Rock.

Dengan rambut gondrong, baju yang dihias dengan dakwat pembetulan, seluar spandex ketat, memang penampilan watak-watak rockers begitu jitu. Nak pecah perut apabila mereka sanggup mencuri PVC tempat duduk bas untuk dibuat seluar. Lagu-lagu latar dan nyanyian kumpulan Rimba Bara untuk Battle of the Bands adalah lagu-lagu rock 80an-90an yang memang menjadi kegemaran ramai.

Kegemaran saya adalah klip di atas. Bukan saja lagu "Dari Sinar Mata" oleh Bumiputra Rockers ini dijadikan lagu pengenalan watak tunang Zack, ia juga menjadi satu parodi atau spoof video-video rock lama yang selalunya akan mempamerkan penyanyi sedang bernyanyi di tepi kapalterbang dalam museum atau berjalan di landasan Keretapi Tanah Melayu. Yang kurang hanya bernyanyi tepi air terjun saja.

Mungkin ramai remaja sekarang tak akan dapat tangkap jenaka atau gurauan yang tersirat. Hanya abang-abang yang dulu gila "jamming" akan tahu getirnya mengumpul duit untuk menyewa studio, bagaimana sukarnya menukar-suai baju agar menjadi lebih rock dan bagaimana rapuhnya impian hendak menjadi penyanyi rock terkenal seperti Amy. Dulu mana ada Malaysian atau Singapore Idol?

Dan mungkin seperti watak utama, Zack, mereka sudah pun mengantung guitar elektrik, memotong rambut dan mendapat perkerjaan yang tetap, seperti mana yang disuruh ayah atau ibu, berkahwin, dapat anak dan ada rumah dan kereta sendiri. Hanya apabila mendengar lagu-lagu rock sebegini, akan semarak kembali api rock yang terpaksa dibedung

Bukan senang mengejar impian. Ia memerlukan pengorbanan dan mungkin akan datang masa yang kita harus memilih antara impian dan kenyataan. Namun tanpa impian, manusia tidak sampai ke bulan, tidak menjelajah gunung dan lautan, tidak menjadi superstar! Jadi setakat mana harus kita bermimpi dan setakat mana harus kita berdiri di dunia yang nyata?

Karyanet - Penjana Gedung Ilmiah Digital Bahasa Melayu


Sudah bertahun-tahun lamanya, saya tidak menulis dalam bahasa melayu. Waktu di sekolah menengah dan di maktab rendah, selalu jugak saya menulis cerpen atau sajak. Tetapi sejak mempunyai perkerjaan tetap, sudah lama saya ketepikan pena dan kertas apatah lagi semenjak bermastautin di London. Sememangnya makin berkarat penggunaan bahasa Melayu saya.

Apabila teman-teman saya, Qasrina dan melayura, menyarankan menulis blog dalam Bahasa Melayu, saya tidak tunggu lama. Bukan main ghairah lagi. Sekurang-kurangnya dapat mencabar minda and “menyenamkan” otak. Tetapi aduhai! Ternyata betul-betul karat dan tumpulnya pena saya. Nak tulis satu posting yang mungkin mengambil 10 minit dalam Bahasa English, mengambil masa dalam setengah jam! . Otak beku mencari terjemahan kata. Alamak… kalau lah Cikgu Rohaya nampak apa yang saya tulis, mungkin dah “dibelasah” didepan kawan-kawan lain dan mungkin Cikgu Jenab akan terpekik “Top 3%!!”

Dalam mencari terjemahan kata-kata and peribahasa, saya terjumpa laman web Dewan Pustaka dan Budaya di www.karyanet.com.my . Bukan sahaja ia merupakan sumber terulung untuk kamus melayu dan peribahasa, ia juga menengahkan sastera dan budaya melayu. Ada juga laman khas untuk kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti seperti permainan, kelab dan e-komik hikayat yang sungguh hebat.

Yang menarik bagi saya, laman ini juga menjual buku-buku melayu dan juga mengalu-alukan sumbangan penulisan untuk diterbitkan dalam corak e-buku. Silalah mampir ke laman menarik ini
**Kredit Gambar : Hikayat Hang Tuah dari karyanet.com.my

Idola bermacam Idola

Malaysia Idol Commercial


Dah memang ketinggalan zaman. Almaklumlah di negeri orang. Mungkin dah basi untuk saya menengahkan fenomena Malaysia dan Singapore Idol ini. Di U.K., bukan saja ada Pop Idol, ada bermacam-macam lagi program tv yang sekaum dengannya; dari Xfactor yang mempunyai kategori kumpulan dan “25 tahun keatas”, ke Model Behaviour, pertandingan pragawati yang semuanya muda-muda belaka tapi tak kurang perkelahiannya sampai ke Strictly Come Dancing dimana perserta menari satu jenis tarian setiap minggu sebelum diundi siapa yang kena tendang. Sayang sekali tiada tarian zapin atau inang. Agaknya sakit juga pinggang mat salleh-mat salleh ni bila melenggang.

Berbalik kepada Malaysia Idol, saya dapat menatap iklan yang sungguh unik ini di YouTube.com. Nak pecah perut ketawa walaupun dimainkan beberapa kali. Ada lagi banyak video Malaysia dan Singapore Idol di YouTube termasuk Ah Beng terkenal “Nong Nong Ago”, “Lipgloss boy” dan lain-lain perserta yang terang-terang seharusnya diwajibkan untuk tengok diri di cermin sebelum hadir ke ujibakat.

Saya amat tertarik melihat perserta yang siap berpakaian kot labuh yang sanggup dibeli dari negara luar dengan harga $5000! Alamak, tak panas ke, dik? Bukan main suka cik adik tu bila Dick Lee cakap dia lebih berpotensi menjadi model sampai tak dengar pun yang Dick Lee bercakap dengan nada sinis. Mari kita tunggukan apa idea baru yang akan mereka ketengahkan? Mungkin Idola Dondang Sayang? Strictly Come Ronggeng? Mari kita nantikan!

2 Mat Singapura di Piala Dunia 2006















2 mamat Singapura di Piala Dunia 2006. Tu yang dekat sebelah kiri gambar.
Kredit Gambar : bbc.co.uk


“Man, kita dapat tiket World Cup! Spain vs Tunisia”
Bertempik gembira SS (suami saya lah..bukan syok sendiri). Saya terkejut. Baru dapat tiket pusingan pertama dah begini. Kalau dapat, tiket pusingan terakhir, macam mana agaknya?

Buat pertama kalinya, SS dan rakan karibnya, Jenol, dapat menyaksikan pertandingan bola terunggul ini secara langsung. Siap berbekal dengan dua bendera Singapura, mereka tiba di Stuttgart pada 19 June. Walaupun tempat duduk terletak betul-betul belakang gawang gol, tak kira lah. Asal kan dapat tengok bola. Mereka berada di tengah-tengah penyokong Spain yang sungguh hairan melihat bendera Singapura. Bendera Singapura dipasang megah di belakang gawang gol. Ramai yang ingat bahawa mereka penyokong Tunisia kerana bendera Tunisia juga berwarna merah berserta dengan bulan sabit dan bintang.

Pasukan Tunisia yang pada mulanya sedang mendahului dengan 1 gol akhirnya tewas 3-1, mengalah kepada serangan Spain yang bertubi-tubi. Gegak gempita stadium kerana sorakan penyokong Tunisia dan Spain.

Selama lima hari, mereka berada di Germany. Dari Stuttgart, mereka terus ke Frankfurt dan selepas itu, ke Berlin. Tiket bola amatlah sukar untuk didapati tetapi untuk mereka yang tiada tiket, ada bermacam-macam aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur. Setiap Bandar hos akan menganjurkan Pesta Peminat (Fanfest) dimana setiap perlawanan akan ditayangkan di skrin gergasi.

Untuk lawatan lima hari ini, persiapannya bermakan berbulan-bulan. Kita cuba untuk mendapatkan tempat tidur yang murah tetapi rata-rata bilik hotel atau hostel murah sudah habis disewa. Yang tinggal hanyalan hotel 5 bintang yang harganya juga “berbintang-bintang” mahalnya. Nasib baik setiap Bandar ada menyediakan Khemah Peminat (Fan Camp). Tidur di dalam khemah besar beralas lantai kayu tetapi tak apalah. Memang murah harganya – hanya €12 satu malam termasuk sarapan roti dan teh. Di Khemah Peminat ini, memang senang untuk berjumpa dengan ramai peminat bola sedunia.

Malangnya di Frankfurt, Khemah Peminat sudah penuh. Nasib baik dapat menyewa bilik seorang peminat bola yang kita jumpa melalui internet. Dari e-surat Helga yang Inggerisnya tidak begitu betul, akhirnya sampai juga mereka ke rumahnya. Helga seorang yang peramah dan rumahnya agak selesa tetapi bila mereka masuk ke bilik tidur, alamak... di tepi bilik, ada tengorak sedang duduk dalam kerusi sambil memakai rambut palsu berwarna perang! Nasib baik tidur satu malam saja.

Suasana Piala Dunia di London tidak kurang hebatnya; terutama bila pasukan England masuk ke peringkat suku akhir. Tak habis-habis kedengaran sorakan peminat yang sedang melihat perlawanan di pub-pub yang berdekatan. Dengan muka bercoret salib St. George, dengan bendera dan jersi khas, memang meriah. Saya ternampak seorang peminat memakai costume Strawberry, lengkap dengan topi. Sayangnya England tidak masuk ke peringkat separuh akhir setelah tewas di tangan Portugal. Kalaulah England menang Piala Dunia, mesti heboh satu London dan mungkin cuti awam satu negeri!

Hari ini adalah kemuncak pesta bola ini dengan dua pasukan hebat, Perancis dan Italy bertarung untuk menjulang Piala Dunia. SS menyokong Italy kerana kebetulan dia membeli topi khas dengan logo “World Champions2006 Italy”. Walaupun dengan masa tambahan, masih satu seri. Akhirnya, dengan tendangan penalty, Italy menang. Riuh-rendah peminat Italy di depan tingkap rumah. Legalah saya kerana Piala Dunia dah habis. Tak payah lah tidur bolan, makan bola, minum coca-cola. tapi tak lama lah… sekejap lagi Liga Perdana akan bermula. Apalah nasib….

7 July 2006 - setahun selepas letupan bom di London


Kredit gambar : bbc.co.uk

Hari ini, tepat pukul 12 tengahari, hampir semua penduduk London akan bertafakur selama 2 minit, bagi menghormati mereka yang terkorban dalam peristiwa ngeri ini. Setahun lalu, dalam kesibukan komuter menuju destinasi masing-masing, tiga biji bom telah diletupkan dalam “jihad” di dalam keretapi bawah tanah (Tube)dan sebiji lagi diletup dalam sebuah bas penuk sesak dengan manusia. Seramai 52 orang dari pelbagai bangsa dan agama telah terkorban dan 700 orang lagi tercedera. Amatlah payah untuk saya memikikan bahawa ini telah dilakukan oleh saudara Islam saya tetapi apa yang saya boleh rakamkan adalah perasaan saya setahun dahulu.

Pagi itu, seperti biasa, suami saya menghantar Alia ke rumah penjaganya yang betul-betul bertentangan dengan stesyen Edgware Road. Dia terlambat setengah jam pagi itu. Saya pula menghala ke arah Hammersmith. Sampai sahaja di Hammersmith, stesyen telah ditutup tanpa apa berita pun. Cuma pekerja yang menyatakan banyak stesyen ditutup kerana “power surge” dan kalau tidak perlu ke Central London, jangan naik Tube. Kami yang terpacak depan pintu yang tertutup tak tahu apa-apa dan hanya boleh merugut “Apa dah? Asyik problem je!”.

Saya menelefon suami saya and dia juga tidak dapat menaiki tube dan sedang dalam perjalanan menaiki bas. Saya bergegas naik ke stesyen bas. Bila saya menelefon tempat kerja untuk memberitahu mereka yang saya akan lambat, boss saya terus meneriak “Don’t get on any bus! There have been explosions! On the Tube and on the bus.”

Cuma Allah sahaja yang tahu apakah perasaan saya pada masa itu. Saya cuba menelefon suami saya. Tak ada signal. Berapa kali saya mencuba dan akhirnya, saya dapat menghubunginya. Stesyen Edgware Road adalah satu daripada tiga stesyen yang terlibat. Bayangkanlah kalau dia tak terlambat? Saya tidak boleh fikirkan apakah yang mungkin terjadi dan terasa amat bersyukur.

Semua laluan bas and tube telah dihentikan dengan serta-merta. Saya berjalan kaki pulang ke rumah; satu perjalanan yang mengambil masa satu jam. Di rumah, terus buka television dan semua saluran tv sedang memaparkan peristiwa pagi itu. Suami dan anak saya masih di Central London. Mereka tidak dapat masuk ke rumah penjaga anak saya kerana hadangan polis dan mereka tidak dapat pulang kerana tak ada bas atau tube.

Walaupun saya tahu mereka selamat, tapi saya masih merasa cemas dan mahu mereka disisi. Jiran saya yang memang baik terus mengayuh basikal sambil menarik satu basikal lagi untuk “menyelamatkan” suami dan anak saya yang berkandas. Saya amat amat berterimakasih sekali.

Tiga stesyen tube terjejas oleh letupan bom sekitar 8.50 pagi dan pada pukul 9.47 pagi, bas no. 30 meletup di Russell Square. Keadaan Central London yang selalu sibuk dgn kenderaan dan manusia menjadi sunyi sepi. Hanya kedengaran laungan kereta kecemasan. Yang berdekatan dengan tempat pengeboman telah bergegas menolong mereka yang cedera. Bas yang meletup di Russell Square berada di hadapan British Medical Association dan secara kebetulan, satu mesyuarat doktor sedang berlangsung. Mereka berlari menolong. Seorang doktor Muslim yang telah menolong telah ditemuduga beberapa hari kemudian. Dia ditanya adakah dia merasa takut kerana ada kemungkinan lagi satu bom akan meletup. Dengan tabah dia menjawab "I'm a Muslim. If my times comes, it comes".

Saya tidak dapat melupakan gambar bas yang meletup. Seluruh bumbung bas telah terkopak dan darah telah tersebur meliputi tembok dan depan pintu bangunan berdekatan. Seramai 26 orang telah terkorban dan peletup bom ini adalah Hasib Husain, seorang budak berumur 18 tahun. Ibunya telah menelefon polis dgn cemas pada pukul 10.19 mlm kerana tidak dapat menghubungi Hasib; dia tahu bahawa anaknya telah pergi ke London untuk berjumpa dengan teman tapi dia tidak mengetahui bahawa Hasib telah terlibat dalam letupan bom ini.

Tiga lagi yang terlibat adalah Md Siddique Khan, seorang guru yang disegani masyarakat, seorang pemuda yang suka bermain cricket dan seorang saudara baru, yang isterinya sedang sarat mengandung anak kedua. Anak pertamanya hanya berumur 2 tahun. Apakah yang mendorong mereka untuk melakukan letupan ini? Beberapa hari selepas itu, video oleh Md Siddique Khan telah dilayarkan di saluran tv dimana dia menganggap dirinya seorang soldadu dalam peperangan terhadap musuh Islam. Yang paling menakutkan pada saya adalah expressi wajahnya yang begitu nekad dan begitu percaya dalam ideologinya.

Apakah yang dapat mereka capai? Britain dan USA masih lagi berleluasa di Iraq dan Palestine and Israel masih huru-hara. Yang saya tahu, beberapa hari selepas letupan bom itu, ada teman muslimah saya dimaki dan diludah. Ramai keluarga kehilangan anak, bapa atau ibu. Lagi ramai yang kehilangan tangan dan kaki Seorang isteri dengan dua anak kecil kehilangan suami. Hari ini saya akan turut bertafakur dan akan berdoa, bukan hanya untuk mereka yang terkorban dalam conflik timur tengah dan barat, mereka yang terlibat dalam letupan bom tetapi untuk anak-anak muda Islam agar mereka tak terikut dalam jalan yang terpesong ini. Alfatihah...

Teknologi Oh Teknologi!

Tak boleh dibayangkan lagi bagaimanakah dunia ini tanpa internet dan email. Sememangnya kedua-dua innovasi ini sudah menunggang terbalikkan cara kita berkomunikasi di abad ini. Tak payah lah tulis surat, cari setem, pergi pos ofis. Taip and tekan “Hantar” sahaja. Nak kongsi gambar cuti, kasi kawan cemburu? Letak sahaja dekat Shutterfly. Nak membeli belah tetapi malas nak tukar baju tidur? Buka computer dan pasang internet. Nak tolong anak dengan kerja sekolah tapi satu soalan pun tak faham? Pergi Google sahaja, tak susah.

Dunia memang sering berubah tetapi saya amat bersyukur adanya orang bijak pandai yang membiakkan internet ini. Oleh kerana innovasi inilah, saya dapat berbual dengan kawan yang sedang lipat kain kat rumah di Singapura, dapat tengok gambar anak saudara saya yang dilahirkan di China dan dapat mendengar luahan perasaan teman in Jepun.

Internet telah membuat dunia ini lebih kecil, lebih “kampung” and sekaligus menyatukan orang melayu sedunia. Kalau ada melayu merantau di negeri orang, mesti mereka tahu rantauan.com, satu laman web yang dulu diterajui oleh Penghulu, senior saya di sekolah menengah. Lihat sahaja di laman itu dan memang tak boleh dinafikan yang orang melayu sekarang sudah berani menjelajah dunia tetapi masih memegang pada keakraban and persaudaraan yang sememangnya simbol ketara adat kita.

Sayang, Penghulu terpaksa menarik diri kerana mengejar ijazah tetapi teraju rantauan.com telah pun diberi kepada Kak Teh. Kalau ada saudara yang suka baca blog, mungkin pernah mampir ke Kak Teh Choc-a-Blog. Kerana Kak Teh lah, saya dapat berkenalan dengah lebih ramai lagi masyarakat melayu di London. (Terimakasih Kak Teh! Mai rumah makan sambal ketam?) Seperti mana Kak Teh mengenalkan saya pada ramai teman di London, dari blog dia lah saya mampu melihat blog melayu sedunia. Klik di Seentraal Station di tepi dan lihatlah... Takkan Melayu hilang di Dunia!

Kacang? What is Kacang?


Itulah yang disebut oleh anak saya bila ditanya "Alia nak kacang?". Saya yang dulu memang berulit dgn bahas melayu di sekolah menengah dan JC, mengukir sajak dan pantun dan ber-renang dalam dunia taridra, dikir barat dan tarian melayu. Tetapi anak saya tak tahu cakap melayu! Oh malunya tak terkira!

Memang sejak bermastautin di London selama 7 tahun, jarang benar kami dapat membaca tulisan melayu. Kalau ada kekawan pramugari yang datang ke London, yang pertama kami minta adalah suratkhabar Berita Harian. Kalau nak tengok program melayu, bermakna kena "import" VCD atau DVD filem melayu. Dalam perbualan seharian, kami lebih selesa memakai Bahasa Melayu bercampur aduk English.

Alia dilahirkan disini 4 tahun dahulu. Dari bayi lagi, dia terdedah dengan Bahasa English. Memang niat nak ajar dari kecil tetapi meningatkan yang Alia akan memerlukan Bahasa English di tadika dari umur 3 tahun, terpaksa juga kita berbual English. Sampai sekarang Alia lebih fasih dengan "Mary had a little lamb" dari Enjit Enjit Semut. Bukan itu sahaja, yang emak dia pun berkial-kial nak fikirkan lagu kanak-kanak melayu selain dari "Air Pasang Pagi". Tolong!!!