Rock tetap Rock

Rock


Kredit video : Grand Brilliance Sdn Berhad

Seperti lain-lain barang yang terpaksa kami "import", mungkin dah basi untuk saya mencatat tentang cerita "Rock" ini. Kebetulan seorang teman membawa VCD ini semasa penerbangan ke London. Riuh rendah rumah apabila kami melihat filem ini. Betul tak tahan melihat kerenah empat remaja yang hidup untuk Rock.

Dengan rambut gondrong, baju yang dihias dengan dakwat pembetulan, seluar spandex ketat, memang penampilan watak-watak rockers begitu jitu. Nak pecah perut apabila mereka sanggup mencuri PVC tempat duduk bas untuk dibuat seluar. Lagu-lagu latar dan nyanyian kumpulan Rimba Bara untuk Battle of the Bands adalah lagu-lagu rock 80an-90an yang memang menjadi kegemaran ramai.

Kegemaran saya adalah klip di atas. Bukan saja lagu "Dari Sinar Mata" oleh Bumiputra Rockers ini dijadikan lagu pengenalan watak tunang Zack, ia juga menjadi satu parodi atau spoof video-video rock lama yang selalunya akan mempamerkan penyanyi sedang bernyanyi di tepi kapalterbang dalam museum atau berjalan di landasan Keretapi Tanah Melayu. Yang kurang hanya bernyanyi tepi air terjun saja.

Mungkin ramai remaja sekarang tak akan dapat tangkap jenaka atau gurauan yang tersirat. Hanya abang-abang yang dulu gila "jamming" akan tahu getirnya mengumpul duit untuk menyewa studio, bagaimana sukarnya menukar-suai baju agar menjadi lebih rock dan bagaimana rapuhnya impian hendak menjadi penyanyi rock terkenal seperti Amy. Dulu mana ada Malaysian atau Singapore Idol?

Dan mungkin seperti watak utama, Zack, mereka sudah pun mengantung guitar elektrik, memotong rambut dan mendapat perkerjaan yang tetap, seperti mana yang disuruh ayah atau ibu, berkahwin, dapat anak dan ada rumah dan kereta sendiri. Hanya apabila mendengar lagu-lagu rock sebegini, akan semarak kembali api rock yang terpaksa dibedung

Bukan senang mengejar impian. Ia memerlukan pengorbanan dan mungkin akan datang masa yang kita harus memilih antara impian dan kenyataan. Namun tanpa impian, manusia tidak sampai ke bulan, tidak menjelajah gunung dan lautan, tidak menjadi superstar! Jadi setakat mana harus kita bermimpi dan setakat mana harus kita berdiri di dunia yang nyata?

7 comments:

Nani said...

Memang betul pandangan awak tentang sukanya penyanyi rok berjalan di landasan Keretapi Tanah Melayu sebagai sebahagian dari klip video mereka.

Lagi satu ciri ialah pemain dram yang hanya akan memegang pemukul dram, kemudian mengetuk dram bayangan (imagined drum). Dram berat sangat nak pergi bawak ke landasan keretapi agaknya. Takut kena gilis.

melayudilondon said...

ahahaha.. betul betul! saya pun terfikir begitu jugak. bukan takut gena gilis, takut sakit pinggang angkat drum. Yang lagi satu - main gitar elektrik tanpa wayar. hahahahaha

melayudilondon said...

Ah Amalia, betul ke penggunaan perkataan "dibedung" untuk api rock? Saya dua fikiran antara bedung atau takung. Ingat takung untuk air... mungkin ada lain perkataan yang lebih elok?

Nani said...

Saya periksa Kamus Dewan, Edisi 3.

Bedung bermakna kain yang digunakan untuk membalut bayi.

Membendung bermakna menghalang, menahan, merintangi.

Kalau awak tak sebut pun, saya tak berapa perasan.

Berbalik pada mengejar impian, saya rasa dalam hidup ini kita memang harus `have a dream'. Cuma sebagai manusia yang kadang-kadang terlalu berhati-hati, kita takut untuk gagal. Lalu kita memilih impian yang pada kita boleh atau mudah dicapai.

Tapi memang saya rasa anak-anak kita dan kita sendiri, kalau boleh menjelajah bulan pun saya memang galakkan.(Tapi kalau nak jadi rocker, susah sikit..heh heh)

yuRa said...

metallica, guns n roses dll menjual berapa juta rekod awak tahu? kenapa tak boleh jadi 'rockers', cik amalia?? heh heh

Nani said...

Saya muka decent. Tak leh jadi rocker...hah hah hah

yuRa said...

muka decent tak apa. colet muka dengan kapur sedikit, dah nampak 'brutal'. haha.

lagipun awak kan serba boleh? :)