Melayu di Kota Inggeris

Pasu bunga berbaris-baris
Disusun oleh si anak manis
Aku melayu di Kota Inggeris
Masih rindu petai dan sambal tumis


Begitu lirik lagu Art Fazil. Pada setiap malam Sabtu, dia dan ahli percussion Mofa akan mendendangkan lagu-lagu Melayu dan Inggeris di Mawar, sebuah restoran Malaysian di London. Dari Bujang Lapok ke Apokalips ke Gurindam Jiwa, semua akan disajikan untuk peminat lagu-lagu Melayu. Kalau ada permintaan, pun boleh. Tulis sahaja di dalam kertas ataupun di atas wang £10, kata beliau dengan seloroh.

Selalunya malam Sabtu, restoran Mawar akan penuh – sampai ada yang terpaksa duduk di tangga menunggu giliran. Nampaknya bukan sahaja anak melayu rindukan makanan melayu seperti asam pedas dan kari ikan, tetapi mereka rindu mendengar lagu melayu dinyanyikan secara langsung.

Ini kelihatan paling ketara apabila ada penyanyi lagu melayu datang ke London untuk membuat persembahan. Daripada M Nasir dan Alleycats sampai ke Siti Nurhaliza yang berjaya memenuhi ruang besar Royal Albert Hall dengan orang-orang melayu yang begitu asyik bernyanyi dan berjoget lambak.

Jumlah masyarakat melayu di U.K. memang ramai. Kalau tak percaya, datang ke Persuruhanjaya Malaysia ketika pagi raya. Berpusu-pusu orang Melayu akan datang berpakaian baju kurung berwarni-warni, lengkap dengan songkok, kain samping dan kot musim sejuk. Pertama kali saya melihat cik abang-cik abang memakai baju kurung dengan kot tebal, memang geli hati tetapi apa nak buat? Kalau tak pakai, gerenti mengigil kesejukan.

Rakan sekolah saya, Anita, telah datang berkunjung setelah lama mengajar bahasa Inggeris di Jepun. Kebetulan saya telah dijemput seorang rakan untuk meraikan harijadi suaminya Terperanjat besar Anita melihat juadah Melayu yang telah sedia dihidang. Soto, bergedil, murtabak, roti kirai, kari ayam. Amboi! Tak tahu mana satu harus dipilih. Dia tak sangka akan dapat bersantap masakan asli melayu di kota London. Dan dia lebih terperanjat apabila saya membawa dia membeli-belah di Chinatown di mana segala bagai rempah Adabi, belacan, kicap cap kipas udang, kuah sate segera, nasi himpit segara, halia, serai, rambutan, manggis dan durian senang didapati. Cuma jangan bandingkan harga sahaja! Mesti terbeliak biji mata.

Memang kota London serba ada tetapi kadangkala saya masih rindu dengan tanah air. Rindu duduk di pusat penjaja Newton menikmati makanan laut dan menghirup ais kacang, rindu makan tulang di Beach Road sambil meminum air tebu segar. Dan juga rindu berjalan-jalan di Geylang sewaktu bulan puasa. Singapura bukannya dekat – bukan boleh sampai naik bas. Jadi terpaksalah kami berpusu-pusu ke Mawar untuk mengubat rindu walaupun untuk sementara.

8 comments:

Nani said...

Nasib baik ada Mawar juga. Kalau tidak, keju ajelah yang awak makan. Heh heh.

Kalau kita ke sana, mungkin dengan Ayuke, bolehlah awak bawak kita makan kat sana. Awak sebut kari ikan dengan asam pedas...hai..perut saya pun dah lapar ni.

Soalan : Selalunya awak masak apa untuk suami dan Alia? Ke beli aje?

yuRa said...

antara petai dan durian, yang mana satukah boleh diterima baunya oleh orang Inggeris? hehe

rakan saya pernah membawa rakan inggerisnya makan durian di bugis street. dia teringin merasa durian walaupun jaki dengan baunya yang kuat tu. gelihati tengok mat salleh akhirnya menyuap durian ke dalam mulutnya sambil sebelah lagi tangannya menyepit hidung. haha

melayudilondon said...

hah cik amalia, byk lagi restoran melayu dan halal disini. kalau kamu berdua datang ke London, gerenti saya bawa keliling.

Selalunya saya masak dgn tolongan kawan rapat saya 'Brahim' hehehehe. kalau penat, kita beli makan luar sahaja. tapi tak leh selalu... sakit poket..

melayudilondon said...

Saya teringat program 'Amazing Foods of Asia' Mat Salleh presenter bukan main gagah makan bermacam-macam benda aneh seperti kalajengking, belalang, fresh spirulina dan lain lain lagi. tapi suruh makan durian, terus tewas! hahahah dia pun tak sangka dia akan tewas di tangan sebijik buah!!

Suami anak saya yg keturunan kacukan German-Jordan pun mula2 tak boleh makan durian. Kita mulakan dgn yg ringan2 seperti durian cake dan durian puffs. skrg bukan main suka lagi dia makan durian.

Nani said...

`Suami anak saya' tu siapa?

melayudilondon said...

Alamak...salah salah.. suami adik saya. hahahahahaah

yuRa said...

yay! saya pandai sebab saya teka betul walaupun awak tersilap taip. :)

jangan lupa terbang pulang sekiranya blog awak diisytiharkan menang! hehehe

melayudilondon said...

nak terbang tak ada sayap...