Singapura di pentas dunia

Pernah saya terfikir apakah maknanya menjadi seorang anak Melayu Singapura. Soalan ini makin ketara apabila saya menapak ke dunia luar. Ramai kenalan yang saya baru temui di U.K. akan mengaru kepala kerana tidak dapat mengenalpasti dari manakah saya. Sememangnya kulit hitam manis saya di tengah lautan kulit putih lain daripada yang lain. Kulit saya tidak segelap dan struktur wajah saya amat berlainan dari orang West Indies ataupun orang India.

Bila saya mengatakan saya dari Singapura, gerak balas yang saya terima amat berlainan. Ada yang tersenyum sambil berkata “Oh Singapore! I was there during a stopover to Australia/NZ. Very clean!” Ada yang terpinga-pinga “Singapore? Is it near China?” dan ada yang berkata “Singapore? But you don’t look Chinese!” Terbahak-bahak saya tertawa. Ternyata poster-poster perlancungan STB yang memaparkan wayang Cina dan tarian singa Singapura sungguh berjaya!

Saya juga selalu ditegur dalam bahasa Tagalog oleh orang Filipino. Mereka selalu tersenyum ramah dan berbual mesra walaupun akhirnya saya berkata saya bukan orang Filipino. Malangnya hanya segelintir orang Melayu yang saya tidak kenali akan menyapa atau tersenyum. Mungkin kerana saya tidak bertudung dan tidak nampak kemelayuan dari segi pakaian? Kadangkala apabila saya menyapa dalam bahasa melayu, mereka akan terperanjat dan kelihatan cemas!

Kembali kepada penduduk U.K., rata-rata mereka akan takjub betapa fasihnya saya berbual Bahasa Inggeris. Mereka akan bertanya berapa lama saya sudah menetap di sini. Saya rasa rakyat Singapura lebih kosmopolitan dan lebih terbuka dalam segi hal-ehwal dunia. Mungkin kerana majoriti media kita telah pun di impot dari negara-negara lain. Lagipun ramai penduduk Singapura sudah biasa berlancung ke negara-negara lain. Ramai penduduk U.K dan U.S. tidak mempunyai passport, apatah lagi melancung ke tempat-tempat eksotik seperti Thailand, Malaysia ataupun Singapura.

Pengurus lama saya ketika berkerja di Christie’s teringat bahawa Singapura dahulu tanah jajahan empayar British yang dirampas seketika oleh Jepun tatkala perang dunia kedua. Apabila saya geram kepadanya, saya selalu berseloroh dan bergurau “Hah, kenapa tentera British mengarah senjata ke laut? Jepun datang berbasikal dari belakang!”. Dia akan tersipu-sipu dan kami akan ketawa besar.

Saya amat bernasib baik kerana belum bertentang muka dengan rasisme ganas atau ketaksuban di sini. Apa yang saya temui adalah sifat ingin tahu dan saya berasa adalah tanggungjawab saya untuk menampilkan imej yang positif untuk orang melayu. Cewah!

1 comment:

yuRa said...

cayalah! :)