Blog Melayu, Melayu Baru


Saya amat berbangga dengan sambutan yang diberikan terhadap pertandingan blog Bulan Bahasa. Tak disangka-sangka ramai yang akan menyahut cabaran. Ramai yang menyertai atas galakan cikgu Bahasa Melayu. Bukankah ini merupakan cara yang unik dan terkini untuk mengajar dan belajar Bahasa Melayu?

Daripada apa yang saya baca, para penulis amat peka dengan gejala yang melanda Bahasa Melayu. Rata-rata mereka angkur betapa sukarnya untuk menulis catatan dalam Bahasa Melayu. Bukan kerana tidak tahu, tetapi kerana dah lama tak pakai. Setajam mana keris pun kalau tak diasah akan tumpul juga. Saya akui penulisan Bahasa Melayu saya tak sederas tatkala waktu persekolahan dahalu. Semasa menulis, otak masih berfikir dalam Bahasa Inggeris, terkapai-kapai saya mencari terjemahan ke Bahasa Melayu.

Perihal penggunaan campur aduk Bahasa Melayu dan Inggeris, pada pendapat saya bahasa itu organik. Kalau tidak diubah-suai mengikut rentak masa, akan kaku dan bertambah ketinggalan zaman. Saya bersependapat dengan myopiclens yang telah mencatat dalam blognya bahawa Bahasa itu adalah “alat komunikasi yang perlu lentur untuk disesuaikan kepada penggunanya”. Sila ketik myopiclens untuk ke halaman blog beliau .

Mungkin mengherdik atau mencela mereka yang bercampur-aduk bahasa bukan caranya. Sedangkan bahasa Inggeris banyak juga membuat pinjaman dari bahasa-bahasa lain seperti “bungalow”, “tiffin” dan “pajamas” dari Bahasa India dan “Amock” dan “Pangolin” dari Bahasa Melayu. Tidak dapat dinafi lagi bahawa banyak perkataan Melayu moden adalah hasil pinjaman dari Bahasa Inggeris. Memang tidak boleh dielak; apatah lagi Bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa kommunikasi antarabangsa dan unsur-unsur kebaratan telah pun menguasai minda bukan sahaja anak-anak melayu tetapi ramai penduduk dunia sejagat.

Apa yang patut kita dorong adalah appresiasi atau penghayatan bahasa dan budaya Melayu. Indahnya pantun, syair dan puisi melayu, lemah gemalainya tarian melayu, tertib dan bersopannya adat melayu. Salah satu sebab mengapa saya cekal mahu pulang ke tanahair adalah kerana saya mahu anak perempuan saya mengenali asal-usul keluarganya dan juga untuk dibesarkan berlandaskan tata tertib gadis melayu. Sayangnya saya belum ada kebolehan untuk pulang. Nasib baik, masyarakat melayu di London agak besar jumlahnya dan Alia dapat berkawan dengan anak-anak melayu. Apa yang saya harap apabila tiba masanya, tidaklah rebung mejadi buluh!

2 comments:

yuRa said...

saya diberitahu ketika di kelas bahasa dulu, bahasa yang boleh berkembang (dengan membolehkan pinjaman dari bahasa lain misalnya) adalah bahasa yang hidup. jika tidak ia akan menjadi bahasa yang mati sepertilah bahasa sanskrit.

tapi sekiranya di dalam perbualan, dah tak terdengar sama ada bahasa inggeris atau melayu, itu perlu diperbataskan.

Nani said...

Bahasa itu memang dinamik, lebih-lebih lagi apabila penggunanya berfikir dan perlu menggunakan ungkapan-ungkapan yang tepat untuk menggambarkan sesuatu konsep yang terbayang diminda.

Bertambahnya perkataan-perkataan baru yang di ambil dari bahasa lain menggambarkan bahawa pengguna-pengguna itu sendiri menunujukkan kemajuan.

Cuma para pengguna bahasa perlu sedar pentingnya dielakkan daripada mencampur adukkan bermacam-macam bahasa dalam satu konteks supaya keaslian sesuatu bahasa tetap terpelihara.

Saya sentiasa percaya bahawa sekiranya kita hendak berbahasa apapun, biarlah yang terbaik. Kalau hendak berbahasa Inggeris, janganlah bercampur-campur dengan bahasa lain. Begitu juga kalau hendak berbahasa Melayu.

Tapi, dalam situasi tidak formal, mencampur dua bahasa adalah agak lumrah untuk menimbulkan suasana santai.