7 July 2006 - setahun selepas letupan bom di London


Kredit gambar : bbc.co.uk

Hari ini, tepat pukul 12 tengahari, hampir semua penduduk London akan bertafakur selama 2 minit, bagi menghormati mereka yang terkorban dalam peristiwa ngeri ini. Setahun lalu, dalam kesibukan komuter menuju destinasi masing-masing, tiga biji bom telah diletupkan dalam “jihad” di dalam keretapi bawah tanah (Tube)dan sebiji lagi diletup dalam sebuah bas penuk sesak dengan manusia. Seramai 52 orang dari pelbagai bangsa dan agama telah terkorban dan 700 orang lagi tercedera. Amatlah payah untuk saya memikikan bahawa ini telah dilakukan oleh saudara Islam saya tetapi apa yang saya boleh rakamkan adalah perasaan saya setahun dahulu.

Pagi itu, seperti biasa, suami saya menghantar Alia ke rumah penjaganya yang betul-betul bertentangan dengan stesyen Edgware Road. Dia terlambat setengah jam pagi itu. Saya pula menghala ke arah Hammersmith. Sampai sahaja di Hammersmith, stesyen telah ditutup tanpa apa berita pun. Cuma pekerja yang menyatakan banyak stesyen ditutup kerana “power surge” dan kalau tidak perlu ke Central London, jangan naik Tube. Kami yang terpacak depan pintu yang tertutup tak tahu apa-apa dan hanya boleh merugut “Apa dah? Asyik problem je!”.

Saya menelefon suami saya and dia juga tidak dapat menaiki tube dan sedang dalam perjalanan menaiki bas. Saya bergegas naik ke stesyen bas. Bila saya menelefon tempat kerja untuk memberitahu mereka yang saya akan lambat, boss saya terus meneriak “Don’t get on any bus! There have been explosions! On the Tube and on the bus.”

Cuma Allah sahaja yang tahu apakah perasaan saya pada masa itu. Saya cuba menelefon suami saya. Tak ada signal. Berapa kali saya mencuba dan akhirnya, saya dapat menghubunginya. Stesyen Edgware Road adalah satu daripada tiga stesyen yang terlibat. Bayangkanlah kalau dia tak terlambat? Saya tidak boleh fikirkan apakah yang mungkin terjadi dan terasa amat bersyukur.

Semua laluan bas and tube telah dihentikan dengan serta-merta. Saya berjalan kaki pulang ke rumah; satu perjalanan yang mengambil masa satu jam. Di rumah, terus buka television dan semua saluran tv sedang memaparkan peristiwa pagi itu. Suami dan anak saya masih di Central London. Mereka tidak dapat masuk ke rumah penjaga anak saya kerana hadangan polis dan mereka tidak dapat pulang kerana tak ada bas atau tube.

Walaupun saya tahu mereka selamat, tapi saya masih merasa cemas dan mahu mereka disisi. Jiran saya yang memang baik terus mengayuh basikal sambil menarik satu basikal lagi untuk “menyelamatkan” suami dan anak saya yang berkandas. Saya amat amat berterimakasih sekali.

Tiga stesyen tube terjejas oleh letupan bom sekitar 8.50 pagi dan pada pukul 9.47 pagi, bas no. 30 meletup di Russell Square. Keadaan Central London yang selalu sibuk dgn kenderaan dan manusia menjadi sunyi sepi. Hanya kedengaran laungan kereta kecemasan. Yang berdekatan dengan tempat pengeboman telah bergegas menolong mereka yang cedera. Bas yang meletup di Russell Square berada di hadapan British Medical Association dan secara kebetulan, satu mesyuarat doktor sedang berlangsung. Mereka berlari menolong. Seorang doktor Muslim yang telah menolong telah ditemuduga beberapa hari kemudian. Dia ditanya adakah dia merasa takut kerana ada kemungkinan lagi satu bom akan meletup. Dengan tabah dia menjawab "I'm a Muslim. If my times comes, it comes".

Saya tidak dapat melupakan gambar bas yang meletup. Seluruh bumbung bas telah terkopak dan darah telah tersebur meliputi tembok dan depan pintu bangunan berdekatan. Seramai 26 orang telah terkorban dan peletup bom ini adalah Hasib Husain, seorang budak berumur 18 tahun. Ibunya telah menelefon polis dgn cemas pada pukul 10.19 mlm kerana tidak dapat menghubungi Hasib; dia tahu bahawa anaknya telah pergi ke London untuk berjumpa dengan teman tapi dia tidak mengetahui bahawa Hasib telah terlibat dalam letupan bom ini.

Tiga lagi yang terlibat adalah Md Siddique Khan, seorang guru yang disegani masyarakat, seorang pemuda yang suka bermain cricket dan seorang saudara baru, yang isterinya sedang sarat mengandung anak kedua. Anak pertamanya hanya berumur 2 tahun. Apakah yang mendorong mereka untuk melakukan letupan ini? Beberapa hari selepas itu, video oleh Md Siddique Khan telah dilayarkan di saluran tv dimana dia menganggap dirinya seorang soldadu dalam peperangan terhadap musuh Islam. Yang paling menakutkan pada saya adalah expressi wajahnya yang begitu nekad dan begitu percaya dalam ideologinya.

Apakah yang dapat mereka capai? Britain dan USA masih lagi berleluasa di Iraq dan Palestine and Israel masih huru-hara. Yang saya tahu, beberapa hari selepas letupan bom itu, ada teman muslimah saya dimaki dan diludah. Ramai keluarga kehilangan anak, bapa atau ibu. Lagi ramai yang kehilangan tangan dan kaki Seorang isteri dengan dua anak kecil kehilangan suami. Hari ini saya akan turut bertafakur dan akan berdoa, bukan hanya untuk mereka yang terkorban dalam conflik timur tengah dan barat, mereka yang terlibat dalam letupan bom tetapi untuk anak-anak muda Islam agar mereka tak terikut dalam jalan yang terpesong ini. Alfatihah...

4 comments:

yuRa said...

saya hanya boleh bersyukur awak selamat. walaupun pada masa itu saya sendiri amat risau tentang keselamatan awak.

tapi sudah tentulah tak dapa dibandingkan dengan keadaan awak pada masa itu. melalui penjelasan awak saja saya sudah dapat bayangkan betapa suramnya keadaan pada waktu itu.

ngeri saya fikirkan betapa para pengebom itu seperti tidak hiraukan langsung tentang keadaan ahli keluarga mereka sendiri apa lagi anggota awam.

Nani said...

Betul Shikin...Memang sering terfikir dibenak, kepuasan yang macam mana yang mereka impikan, apa yang nak mereka capai sehingga sanggup mereka mengorbankan diri mereka untuk satu ideologi yang terpesong dari ajaran Islam. Sayangnya, mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka yakinkan sangat adalah terkeluar dari ajaran Islam.

Malangnya, yang terkorban adalah orang-orang yang tidak berdosa.

Alhamdulillah, kamu sekeluarga selamat.

Anonymous said...

pertama sekali, saya merasa seronok membaca blog awak ini. saya mendapati, catatan awak menarik. maklumlah, bukan selalu kita dapat menyingkap hidup orang Melayu di tanah Eropah. =P

selepas membaca catatan awak mengenai pengeboman di London itu, naik gerun pula dibuatnya. Tak sangka maut dan bahaya boleh bertentangan mata dengan manusia dengan sebegitu dekat.syukurlah awak sekeluarga selamat.

melayudilondon said...

alamak cik Nadia, terburai kain! terimakasih kerana sudi mampir. ada banyak bloggers melayu di sini. Sudi-sudi lah datang ke SentraalStation. pelbagai blog melayu serata dunia! Cewah..