Kedai Sinseh Lama

Berikutan catitan saya tentang kedai sinseh di London tu, teringat saya kedai sinseh yang selalu saya pergi sewaktu kecil. Kedai tu terletak di blok bersebelahan. Yang saya ingat adalah satu kaunter kaca dengan bangku. Sinseh tua berambut putih akan duduk belakang kaunter itu, sambil mengipas. Di belakangnya, terletak satu gerobok besar dengan berpuluh-puluh laci kecil, penuh dengan tulisan Cina berbaris-baris. Segala keperluan ubat-ubatan semua kami dapati di situ; dari ubat tradisional sampai ke Panadol.

Kalau sekadar beli Panadol tu tak lah teruja sangat. Yang saya suka adalah apabila disuruh beli ubat Cina tradisional. Bagaikan magik, sinseh tu akan membuka berbagai-bagai laci kecil dan mengeluarkan bahan-bahan yang pelik-pelik. Ye lah, pelik bagi saya yang masih kecil tu. Semuanya ditimbang menggunakan dacing tangan kecil. Dan bahan-bahan tersebut dibungkus rapi dalam kertas warna merah jambu. Jumlah pembelian dikira menggunakan sepua (abacus). Berketak-ketak bunyi sepua tu.

Saya masih ingat apabila saya disuruh oleh makcik untuk membeli tuala wanita jenama Kotex, sinseh tu mukanya sama je... tak berubah. Cuma ada perkhidmatan pelanggan lebih sikit. Kotak itu akan dibalut rapi dengan suratkhabar sebelum dimasukkan dalam beg plastik. Alahai... manalah tahu kalau ada yang malu membeli tuala wanita tu.

Saya tak tahu apakah kedai sinseh tu masih ada lagi. Mungkin kalau ada, yang tersimpan dalam laci tersebut bukan bahan-bahan tradisional tetapi pelbagai ubat-ubatan moden. Dan besar kemungkinan, ketak-ketak sepua telah pun bertukar ke tit..tit..tit mesin daftar tunai.


2 comments:

yuRa said...

haha .. kelakar! meggeletek hati saya membaca entri awak ni.

sinseh tu sensitif ye jual tuala wanita!

kedai sinseh sekarang tak banyak beza lah. lagi2 bau kedainya. kalau saya masok ke kedai sinseh memang tak tau tak akan silap kerana bau kedainya yang tersendiri.

Nani said...

Saya ingat kedai sinseh gini banyak menggunakan kulit-kulit binatang yang telah dikeringkan untuk dijadikan ubat...kadang-kadang geli jugak tengok dari jauh...

Suami kita pulak suka beli diaper budak dari kedai sinseh pasal selalunya lebih murah dari tempat lain.