Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts

Cuti di Warmwell



Minggu lepas ada kelainan sikit. Kita pergi bercuti dua malam di Warmwell, berdekatan dengan Weymouth. Isyhh! Tak pernah jejak tempat ni dan kebetulan inilah pertama kali kita bercuti di holiday cabin di U.K. Sebiji macam tinggal kat chalet! Cuma ada banyak aktiviti-aktiviti menarik. Percutian sebegini memang fofular dengan kaum British; terutama di tempat-tempat seperti Centreparcs dan Butlins. Yang kita sewa adalah resort percutian Parkdean

Perjalanan dari London memakan dalam 3 jam. Balik dari kerja macam lipas kudung; terus masak apa yang perlu, bungkus kain baju dan lari ke kereta. Nak sampai sana sebelum 11 mlm tapi memanglah kalau tengah kelam-kabut, mesti ada yang tak kena. Tayar pancit dah... lagipun sesat sekejap. Nasib baik kat lebuhraya.

Bila sampai jalan menuju ke resort tu, alamak gelapnya! Ni kalau ada orang tahan kereta, gerenti kita pecut. Terbayang-bayang cerita seram. Malam tu memang tak boleh nampak apa-apa. Cuma esokan harinya baru dapat tangkap gambar cabin yang kita tinggal.



Cabin dia selesa juga ~ cukup tempat untuk 8 orang tidur. Perkakas dan peralatan dapur lengkap dengan peti sejuk besar, alat ketuhar, pinggan mangkuk, periuk. Tinggal bawa makanan untuk dimasak. Ada juga anjung. Eee.. kalau musim panas, dah tentu kita bikin BBQ!

Macam kampung betul! Cuma tak ada ayam berkokok waktu pagi je. Tapi kita ada pelawat lain...



Burung pheasant dan tupai!

Pelbagai aktiviti tersedia ada. Anak-anak dah gembira betul dapat pergi kolam renang. Apatah lagi kolam renang ada mesin ombak dan gelungsur tinggi. Lepas berenang terus mereka berlari ke Jungle Gym sementara yang besar sikit boleh pergi rollerblading. Sampai tak ingat nak makan tengah hari. Ada juga aktiviti lain seperti crazy golf dan gelungsur salji atas dry slope. Kalau nak aktiviti tenang sikit, boleh juga pergi memancing di antara tiga tasik kecil yang sedia ada.

Pada waktu malam, kami ke arcade, sementara menunggu pertunjukkan. Perabih duit betul tapi nasib baik harga tak lah semahal main arcade di London. Inilah pertunjukkan yang ditunggu-tunggu si kecik ni...





Lena sungguh anak-anak tidur malam tu. Maklumlah dah penat menari-nari dan terkinja-kinja

Esoknya kami pergi ke Snowflex, tempat gelungsur salji dry slope. Boleh belajar snowboard atau ski kalau mahu. Tinggi juga tempat tu.



Oleh kerana kesuntukkan masa, kami sewa boya Swiss Bobbing saja. Itu pun dah cukup seronok. Duduk atas boya dan terus gelungsur turun. Habis basah kuyup baju. Tak sangka dry slope tu basah juga kerana dicurah air untuk senang gelungsur.




Macam-macam gaya gelungsur!

Sayangnya, kami terpaksa pulang hari Ahad tu. Kalau ada lebih masa, sudah tentu boleh berziarah tempat-tempat seperti Durdle Door, Lulworth Cove dan Weymouth. Kami bertolak tengah hari jadi dapat juga melihat permandangan sekeliling macam ni ...



dan ini...

2 Mat Singapura di Piala Dunia 2006















2 mamat Singapura di Piala Dunia 2006. Tu yang dekat sebelah kiri gambar.
Kredit Gambar : bbc.co.uk


“Man, kita dapat tiket World Cup! Spain vs Tunisia”
Bertempik gembira SS (suami saya lah..bukan syok sendiri). Saya terkejut. Baru dapat tiket pusingan pertama dah begini. Kalau dapat, tiket pusingan terakhir, macam mana agaknya?

Buat pertama kalinya, SS dan rakan karibnya, Jenol, dapat menyaksikan pertandingan bola terunggul ini secara langsung. Siap berbekal dengan dua bendera Singapura, mereka tiba di Stuttgart pada 19 June. Walaupun tempat duduk terletak betul-betul belakang gawang gol, tak kira lah. Asal kan dapat tengok bola. Mereka berada di tengah-tengah penyokong Spain yang sungguh hairan melihat bendera Singapura. Bendera Singapura dipasang megah di belakang gawang gol. Ramai yang ingat bahawa mereka penyokong Tunisia kerana bendera Tunisia juga berwarna merah berserta dengan bulan sabit dan bintang.

Pasukan Tunisia yang pada mulanya sedang mendahului dengan 1 gol akhirnya tewas 3-1, mengalah kepada serangan Spain yang bertubi-tubi. Gegak gempita stadium kerana sorakan penyokong Tunisia dan Spain.

Selama lima hari, mereka berada di Germany. Dari Stuttgart, mereka terus ke Frankfurt dan selepas itu, ke Berlin. Tiket bola amatlah sukar untuk didapati tetapi untuk mereka yang tiada tiket, ada bermacam-macam aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur. Setiap Bandar hos akan menganjurkan Pesta Peminat (Fanfest) dimana setiap perlawanan akan ditayangkan di skrin gergasi.

Untuk lawatan lima hari ini, persiapannya bermakan berbulan-bulan. Kita cuba untuk mendapatkan tempat tidur yang murah tetapi rata-rata bilik hotel atau hostel murah sudah habis disewa. Yang tinggal hanyalan hotel 5 bintang yang harganya juga “berbintang-bintang” mahalnya. Nasib baik setiap Bandar ada menyediakan Khemah Peminat (Fan Camp). Tidur di dalam khemah besar beralas lantai kayu tetapi tak apalah. Memang murah harganya – hanya €12 satu malam termasuk sarapan roti dan teh. Di Khemah Peminat ini, memang senang untuk berjumpa dengan ramai peminat bola sedunia.

Malangnya di Frankfurt, Khemah Peminat sudah penuh. Nasib baik dapat menyewa bilik seorang peminat bola yang kita jumpa melalui internet. Dari e-surat Helga yang Inggerisnya tidak begitu betul, akhirnya sampai juga mereka ke rumahnya. Helga seorang yang peramah dan rumahnya agak selesa tetapi bila mereka masuk ke bilik tidur, alamak... di tepi bilik, ada tengorak sedang duduk dalam kerusi sambil memakai rambut palsu berwarna perang! Nasib baik tidur satu malam saja.

Suasana Piala Dunia di London tidak kurang hebatnya; terutama bila pasukan England masuk ke peringkat suku akhir. Tak habis-habis kedengaran sorakan peminat yang sedang melihat perlawanan di pub-pub yang berdekatan. Dengan muka bercoret salib St. George, dengan bendera dan jersi khas, memang meriah. Saya ternampak seorang peminat memakai costume Strawberry, lengkap dengan topi. Sayangnya England tidak masuk ke peringkat separuh akhir setelah tewas di tangan Portugal. Kalaulah England menang Piala Dunia, mesti heboh satu London dan mungkin cuti awam satu negeri!

Hari ini adalah kemuncak pesta bola ini dengan dua pasukan hebat, Perancis dan Italy bertarung untuk menjulang Piala Dunia. SS menyokong Italy kerana kebetulan dia membeli topi khas dengan logo “World Champions2006 Italy”. Walaupun dengan masa tambahan, masih satu seri. Akhirnya, dengan tendangan penalty, Italy menang. Riuh-rendah peminat Italy di depan tingkap rumah. Legalah saya kerana Piala Dunia dah habis. Tak payah lah tidur bolan, makan bola, minum coca-cola. tapi tak lama lah… sekejap lagi Liga Perdana akan bermula. Apalah nasib….